
Tarikh 1 Jun 2009 sekali lagi tercatat dalam sejarah kembara seni insan pemilik nama Ramlah Binti Ram atau lebih dikenali sebagai Ramlah Ram. Apa tidaknya selepas genap 11 tahun tanpa album penuh yang memuatkan sekurang-kurang 10 lagu baru akhirnya album berjudul 'Ketentuan' membuka lembaran baru kerjaya seni Diva dari Muar, Johor ini. Lebih menarik lagi, inilah album pertama isteri kepada jurutera RTM, Kamal Roslin untuk alaf baru ini.
Memuatkan sepuluh lagu termasuk lagu terbaik Hits Satu Musim Ke 5, 2008 lalu, album ini masih lagi berkonsepkan pop sesuai dengan imej Ratu Pop Melayu yang pernah diberikan pada penyandang gelaran Penyanyi Wanita Popular 1988 - 1989 di Anugerah Bintang Popular ini. Kredit harus diberikan pada pihak FMC selaku penerbit eksekutif kerana masih mempercayai bakat semulajadi Juara Bintang RTM 1985 ini. Setelah single 'Maharaja' diterima ramai diikuti dengan lagu 'Ketentuan' yang menjadi siulan ramai, album ini diterbitkan oleh pihak FMC dengan menggunakan komposer-komposer yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dengan mutu lagu-lagu yang pernah mereka hasilkan.
Nama-nama seperti Fauzi Marzuki, M Nasir, Azlan Abu Hassan dan Aidit Alfian bukan sahaja tidak perlu diperkenalkan lagi tetapi juga nama-nama ini sudah sekian kalinya mengungguli anugerah lagu terbaik di serata pertandingan tanahair. Begitu juga nama-nama yang sedang meningkat naik seperti Sharon Paul, Hazami, Radeen Sri dan Tam Spider, semuanya digabungkan sekali di dalam 'Ketentuan'.
Album 'Ketentuan' dimulakan dengan trek pertama 'Radang Rindu' ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh AD Samad. Susunan muzik terbaru yang lebih segar menampilkan muzik orkestra sepenuhnya. Aidit Alfian seolah mahu 'mengeksploitasikan' low note Ramlah Ram untuk intro lagu ini. Kali pertama juga Ramlah Ram menggunakan teknik falsetto untuk verse pertama lagu ini. Sememangnya Ramlah perlu memperlbagaikan gaya suaranya. Kelebihan mampu mencapai tahap paling tinggi wajar diekspoitasikan sepenuh oleh penyanyi bersuara emas ini. Intro lagu ini yang hanya menggunakan piano mengingatkan kita pada lagu 'Dialah Di Hati' nyanyian Siti Nurhaliza. Apapun strategi FMC untuk menjadikan lagu ini sebagai single terbaru selepas 'Ketentuan' sememangnya tepat. Tak mustahil lagu ini bakal menjadi fenomena sebagaimana 'Ketentuan' yang meruntun perasaan semua yang mendengarnya.
Trek kedua yang merupakan tajuk album dan single yang tak perlu diperkenalkan lagi iaitu 'Ketentuan' ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik sekali lagi oleh AD Samad. Lagu berhantu ni memang 'layan'. Dari segi kualiti bunyi, vokal dan susunan muzik, versi album ini nampak lebih sempurna dan kiranya anda orang yang kuat ingatannya mungkin dapat membezakan kelainan vokal Ramlah Ram yang lebih mantap berbanding versi 'single'. Finalist lagu terbaik Kategori Pop AIM 2009 lalu sememang layak bertakhta di hati peminat seni tanahair kerana melodi dan liriknya yang cukup meruntun perasaan. Walaupun ada yang menggambarkan ianya seolah menceritakan sebahagian dari perjalanan hidup Ramlah Ram sendiri namun ianya bukanlah satu isu kerana lagu adalah milik khalayak. Sesiapa saja mampu 'melayan' perasaan kan?
'Aku Dengan Dunia' ciptaan Aidit Alfian dan AD Samad pula merupakan hasil kerja unik dengan susunan muzik oleh Alfa Booty cukup 'gila' dan menarik. Seperti 'ujikaji' yang dilakukan ketika album 'Jadi Diriku' (Elyana), Alfa sekali lagi menggabungkan beberapa genre muzik di dalam lagu ini. Rasanya gabungan Aidit dan Alfa sememang hebat! Kombinasi susunan muzik Etnik (India - tabla & sitar, Cina - Erhu) menjadikan lagu ini kombinasi Pop, Rock dan Dangdut! Walaupun melodinya biasa-biasa sahaja tapi susunan muziknya yang membuatkan lagu ini lebih 'menangkap'. Liriknya juga puitis dan menggambarkan perasaan seseorang tentang dirinya yang masih belum menemui kebahagiaan hakiki yang diinginkan. Ketukan drum dalam lagu ini mungkin akan mengingatkan kita pada lagu 'Tak Tercapai Akalmu' (Elyana). Mungkin Aidit sendiri menerima pakai cadangan aku untuk mencipta sesuatu seperti Elyana tetapi lebih ringan untuk Kak Ramlah. Cadangan itu pernah aku sampaikan ketika berbual dengannya selepas kejayaan 'Ketentuan' di Hits 1 di Stadium Negara awal 2008 lalu. Apapun tahniah buat Aidit, Alfa dan AD Samad untuk lagu bertonasi baru buat Ramlah Ram.

Trek ke empat, Langit Cinta hasil ciptaan dan lirik Hazami merupakan antara single yang pernah diperdengarkan kepada umum sejak akhir tahun lalu. Namun versi album lebih 'umph' kerana kedengaran dengan jelas suara latar Azlan Abu Hassan... Lagu balada yang dipengaruhi oleh elemen etnik/nasyid ini seolah mengingatkan kita pada lagu 'Elergi Sepi' (Azharina Azhar) namun lebih perlahan. Melodi ciptaan Hazami memang sudah cukup sinonim dengan 'mendayu' yang cukup memberikan 'makanan' untuk jiwa. Peminat Ramlah yang sudah biasa dengan lagu-lagu melankolik ala Dato' Ahmad Nawab pasti menyukai lagu ini. Sekali dengar lagu ini seolah mudah dan senang didendangkan tapi InsyaAllah bila album 'Ketentuan' versi karaoke menjengah di pasaran nanti, cubalah karaoke. Pasti semput pada yang tidak mempunyai nafas yang panjang. Korus yang diulang kali ketiga dinaikkan 'key'nya dan pasti ini salah satu cabaran untuk menyanyikan lagu ini. Tahniah buat kak Ramlah kerana mengalunkan lagu 'mendayu' ini dengan penuh penghayatan!
Lagu finalist Anugerah Juara Lagu 22 (2007) dan Kategori Lagu Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2009 lalu, 'Dirgahayu' ciptaan Raden Sri dan lirik Hairul Anuar Harun diletakkan di trek kelima. Diukur dari segi terbaik sudah tentu lagu ini mempunyai kredibiliti tersendiri, jika tidak masakan lagu ini tersenarai dalam dua pertandingan yang berprestij ini. Satu-satunya lagu berentak tradisional yang dimuatkan dalam album ini memberikan lebih kelebihan terutama pada yang meminati lagu-lagu tradisional nyanyian Ramlah Ram. Pendapat peribadi, aku suka lagu ini kerana liriknya yang begitu puitis. Sememangnya aku 'admire' lirik hasil tulisan penulis lirik lagu-lagu seperti 'Cindai' (Siti Nurhaliza) dan 'Dikir Puteri' (Noraniza Idris) ini.
Kali pertama Ramlah Ram menyanyikan lagu ciptaan Sharon Paul dengan lagu 'Cinta Beralah (lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya). Melodinya bagus dan susunan muzik yang memang sarat dengan 'Pop Melayu' membuatkan lagu ini pasti disukai oleh peminat-peminat Ramlah. Menurut salah seorang kawan aku yang bukan 'die hard fan' Ramlah Ram, dia paling suka lagu ini kerana terlalu tersentuh dengan alunan suara Ramlah Ram yang bernada penuh 'kecewa' dan liriknya yang cukup 'menikam kalbu' Mungkin situasinya baru berdepan dengan perpisahan menguatkan lagi keinginannya menghayati karya terbaru komposer yang isteri kepada aktor Rusdi Ramli ini. Pada aku kalau mendengar di waktu malam ketika diri tengah 'feeling' mahu juga airmata bergenang! Cuma muzik ala 90an ni terkadang membuatkan aku agak kecewa kerana masih seperti album Kak Ramlah yang sebelum ini. Kalau lagu boleh disusun semula muziknya aku harapkan Sharon akan mengubahnya menjadi sebuah lagu R&B sepenuhnya!
'Hadiah Setiaku' ciptaan M Nasir dan lirik oleh Azam Dungun yang diletak di trek ketujuh mempunyai melodi yang memang 'menangkap' walaupun pertama kali mendengar. Boleh layan kata orang dan mesra pendengar. Aku suka intro dan verse pertamanya menggunakan piano dan strings tapi bila gitar arkustik mengambil tempat, terdengar terlalu tipikal lagu-lagu dengan susunan muzik 90'an... Kalau diletakkan susunan muziknya dengan petikan piano sepenuhnya sudah tentu ianya menjadi lebih menarik. Namun lirik puitis yang mempunyai dua maksud yakni cinta pada Tuhan dan manusia menjadikan lagu ini unik.... "Terpancarlah keyakinan diri, bila kalimahmu melagukan rindu di kalbu ku... terbentang permaidani indah, hadiah rindu yang tiada taranya dan kau lah kekasihku..." Sememangnya berkasih padaNya lebih afdal dan kekal selamanya!
Satu lagi lagu ciptaan Sharon Paul yang tidak kurang hebatnya iaitu 'Pasti' (Lirik oleh Sulu Sarawak). Pada aku susunan muzik dan melodinya boleh menjadi seindah 'Ketentuan' jika ditambah lebih 'perisa'. Aku tak pasti bagaimana, tapi seolah ada sedikit kekurangan... Bak kata kak Ramlah sendiri ketika aku berbual dengannya selepas promosi album di Selayang Mall 30 Mei lalu lagu ini bukan 'mesra radio'. Mungkin maksud Kak Ramlah, sukar menjadi hits di radio. Namun pada aku melodi dan struktur lagu ini sendiri sekuat 'Ketentuan' mungkin susunan muzik itu yang tidak terlalu pop dan tidak terlalu R&B sepenuhnya. Aku dapat raskaan andainya ianya diberi sentuhan ala 'Sejauh Ini' (Dina) lagu ini menjadi lebih menarik. Apapun memang lagu yang boleh 'layan' bila tengah 'feeling'!
'Bersimpuh Di Pintu Hati' ciptaan Fauzi Marzuki dan Azam Dungun adalah balada 'klasik' tipikal Fauzi Marzuki... biasa sahaja tapi bukanlah kategori langsung tak boleh dengar kerana ianya memerlukan masa untuk menghayatinya... Seperti juga naskah Fauzi iaitu lagu 'Kian' (Mawi) yang biasa-biasa sahaja tetapi disebabkan selalu diputarkan di radio maka lagu itu popular. Begitu juga kalau lagi 'Bersimpuh Di Pintu Hati' diberikan peluang seperti lagu Mawi itu. Lagipun apa salahnya menyokong produk tempatan yang ternyata lebih berkualiti dari produk seberang yang masih tipikal susunan muziknya, paling teruk (malang) lagi bersuara yang hampir sama (suara 'mesin' di dalam filem 'Bintang Hati')
Album 'Ketentuan' diakhiri dengan lagu 'Kasih Yang Dulu' ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Mael. Mulanya aku menyangka lagu ini merupakan lagu balada syahdu ala 'Bertakhta Di Hati' (Faradhiya) tetapi rupanya f
ast number. Muziknya yang lebih moden, kool dan menampilkan kelainan dari lagu-lagu lain yang pernah dirakamkan oleh Ramlah Ram sebelum ini. Muzik yg mempunyai elemen R&B yang kuat tetapi dipengaruhi sedikit elemen rock (terutama pada drumnya) benar-benar dapat mengubah pandangan mereka yang sering mengatakan lagu-lagu Ramlah Ram jenis mendayu-dayu dan kampung (istilah orang perasan bagus je... di US, UK takde istilah seperti ini walaupun mereka 200 kali ganda lebih class dari manusia jenis ini).

Secara keseluruhan aku memberikan album ini empat bintang setengah dari keseluruhan lima bintang dan tidak keterlaluan dikatakan album ini adalah album yang 'mesti beli' dan perlu ada dalam senarai album terbaik tahun 2009 ini. Semoga ada yang sangkut dalam pengadilan di AIM tahun depan. Itupun kalau AIM masih telus dan boleh 'dipercayai' dan tidak hanya memandang 'class' atau personaliti seseorang artis itu. Terkadang walaupun artis itu biasa-biasa sahaja tapi genre muzik yang dinyanyikan bertaraf 'class' senang-senang sahaja terpilih 6 atau 7 kategori. Tapi kalau setakat merakamkan album dangdut, jangan haraplah tercalon apa lagi memang yang terbaik kan? Tahniah buat Kak Ramlah kerana bersedia menampilkan perubahan bermula dari album ini. Semoga album akan datang akan hadir dengan lebih banyak perubahan seiring dengan perubahan yang ketara dalam seni muzik dunia. Terkadang bila mendengar lagu tahun 2006 pun rasa sudah jauh ketinggalan (seolah mendengar lagu retro pula)